Sebenarnya saye tgh cuti CNY skrg...dan baru-baru ni berlalunya 14 februari..ada apa !4 februari?? tp hari ni da 15 Feb...ini ceritanya..saye sign in YM, mula membace status kwn2 di mssenger list...dan salah seorg kwn saya mase matrik attachkan link cerpen Hilal Asyraf ni..for me it's really interesting..so read-up guys!!;D (p/s: thanks to taqirah@taqi. ^__^)
14 Februari? Valentine? Ho3… Saya tak menyambutnya. Maaf.
Tapi, apa kata kita baca cerpen saya ini?
Terimalah - Cerpen: Valentine -
Enjoy!
Valentine
Cinta padaku mahal
Kalau cinta mesti membawa ke syurga
Apa cinta kalau akhirnya ke neraka
Maka keredhaan Allah adalah dasar sebenar kepada cinta.
Kuliah tamat. Hari ini kuliah agak berat dengan aku mempunyai tiga kelas, dan ketiga-tiga kelas itu memakan masa satu jam setengah setiap satu. Kelas terakhir adalah pada pukul 2.00 petang hingga pukul 3.30 petang. Pembelajaran yang sepenuhnya di dalam bahasa arab membuatkan aku jadi sedikit letih. Belajar dalam bukan bahasa ibunda memerlukan fokus yang lebih.
Hah…
Letih. Aku membiarkan dahulu pelajar-pelajar lain keluar dari dewan kuliah 401. Ilmu-ilmu yang ditumpahkan oleh Dr Asyraf Kinanah, Pensyarah Madah Tasyri’ Islami aku sebentar tadi seakan-akan bergantungan di hadapan mataku. Akalku memerlukan rehat. Justeru aku malas hendak berasak di kawasan pintu. Biarlah aku bertenang terlebih dahulu.
“Assalamu’alaikum…” Satu suara lembut menyapa. Aku memandang, dan kelihatan seorang perempuan arab yang berpakaian sopan, bertudung labuh serta berpurdah. Aku tidak pernah melihatnya, tetapi aku kenal akan namanya. Dia adalah pelajar yang aktif di dalam kuliah Tasyri’ ini, dan amat suka bertanya kepada pensyarah. Namanya adalah Rana Jameelah.
“Wa’alaikumussalam. Shu biddik?” Aku bertanya dalam bahasa arab pasar. Kamu nak apa?
“Hai chokolata. Laka” Ini coklat, untuk kamu. Dia menghulurkan kotak berwarna merah, terdapat reben yang terikat kemas pada kotak itu.
“Li? Li eish?” Untuk saya? Kenapa? Aku kehairanan.
“Yaumul Valentine” Hari Valentine. Dia menjawab dengan wajah tertunduk. Kemudian dia pantas meletakkan kotak coklat itu di meja lipat, kemudian bergerak pantas keluar.
Aku terkesima, memandang sahaja Rana keluar dari kelas, kemudian menghela nafas berat.
Ha…
Aku buka beg, kemudian mengambil kotak yang baru sahaja diberikan oleh Rana, lalu memasukkannya ke dalam beg.
“Valentine day ha..” Hari ini, 14 Februari, turut dinamakan sebagai Valentine Day. Nama melayunya adalah Hari Kekasih.
Dan aku tak sangka, di negara arab ini, 14 Februari turut disambut. Malah, wanita yang kelihatan amat solehah seperti Rana juga tidak terlepas. Manusia menganggap, inilah hari menterjemahkan cinta. Kononnya pada hari inilah cinta diagung-agungkan.
Tetapi untuk aku, nampaknya cinta telah direndah-rendahkan pada hari ini.
Sucinya cinta tercemar.
Mahalnya cinta tergadai dengan murah.
*********
Aku duduk-duduk di hadapan meja jepun di tengah ruang tamu rumah sewaku. Sebaik sahaja selesai solat asar tadi, aku membancuh teh dan minum petang. Cuaca yang sejuk membuatkan aku sedikit malas untuk keluar bersenam.
“Wah, untung la kau, ada minah bagi coklat” Satu suara menyapa, selepas bunyi engsel pintu bersama salam kedengaran.
Aku menoleh. Seorang lelaki bergerak ke arah coklat pemberian Rana yang kuletak atas meja. Sengih tergaris di bibirku.
“Ambil lah” Aku menjuihkan bibirku pada coklat Rana. Mahal coklat ini.
“Betul ke aku boleh ambil ni?” Sahabat serumahku itu, Na’em bertanya. Aku mengangguk sahaja.
“Ish, kecewa la nanti minah ni” Na’em berseloroh. Aku nampak dia membelek-belek kotak coklat atas meja bulat jepun itu.
Aku tersengih. “ Kecewa apa pula. Ada banyak lagi lelaki lain dalam dunia ni” Kalau kecewa pun lagi bagus.
Aku hairan, kalau Rana itu sudah boleh dikatakan agak baik la juga. Perempuan lain, aku lihat tanpa segan silu keluar dengan pasangan mereka. Kononnya meraikan Hari Valentine. Pening kepala aku. Aku tak tahu la kalau ada ahli PERMAI yang menyambutnya juga. Aku minta jauh la.
“Perempuan ni suka pada kau. Bukan pada orang lain. Kalau tak, mana la nak bagi coklat pada hari Valentine ni” Na’em terus berceloteh.
“Ana bukan sambut pun hari valentine ni”
“Eh kenapa? Rugi tau” Na’em memfokuskan pandangannya kepadaku.
“Ru… gi?” Aku mengangkat kening sebelah.
“Ya la. Hari ni lah orang nak bermadu asmara, meluahkan cinta. Kau seorang diri pula, tak sambut dengan sesiapa pun. Hari ni semua orang keluar dengan pasangan masing-masing. Aku tengok di JUST tu, ramai yang duduk dua-duaan, pegang-pegang tangan. Romantik gayanya” Na’em menyatukan kedua tangannya, dan meletakkan ke dada, bersama muka penuh perasaan.
Aku tergelak sambil menggeleng kepala. Lebih-lebih pulak mamat Na’em ni.
“Banyak la enta. Buat macam tu tak syara’ tahu. Allah tak suka.”
“Ya la, itu yang tak tahu syara’ buat macam tu.Takkan la kau yang kuliah syariah nak buat macam tu. Tapi sekurang-kurangnya pergi la keluar makan bersama ke, sembang ke, janganla bergesel-gesel pegang-pegang tangan” Na’em memberikan cadangan.
Aku ketawa kecil. “Sama la tu. Haram juga”
“Aik, tak sentuh tangan pun haram?”
“Ulama menggariskan, al-aslu fi ikhtilat, haram. Maksudnya, asal dalam permasalahan percampuran lelaki perempuan adalah haram. Melainkan ada sebab yang darurat serta tidak menimbulkan fitnah. Kalau dah keluar sama-sama, makan sama-sama, sembang bukan main lagi, tak sentuh tangan pun haram juga.”
“oh, begitu ke?”
“Ya la, Allah SWT berfirman: “Jangan kamu dekati zina…” Surah Al-Israa’ ayat 32
“Sentuh tangan, keluar dua-dua, sembang-sembang, bukan zina la” Na’em menyangkal.
“Ya, tetapi cuba kau tengok balik arahan Allah SWT. Allah kata: Jangan kamu dekati. Jadi, macam mana? Sentuh tangan, keluar dua-dua, sembang macam tiada batas pergaulan, bukankah itu semua antara lubang-lubang pembuka kepada zina?”
Na’em terdiam. Mungkin akalnya baru berfikir logika itu.
“Kenapa? Enta buat jugak ke macam yang enta cerita tu?” Aku memandang Na’em.
Na’em menggeleng. “Eh, tak la. Belum lagi la. Tapi ingatkan boleh. Ingatkan kalau ada perempuan nak masuk, aku nak ambil je. Mujur kau cerita. Kalau tak, naya aku. Untung la aku ni serumah dengan kau”
Aku tersengih. “Enta tahu tak, semenjak ana kenal dengan enta, ana sambut juga 14 Februari ni”
Mata Na’em membesar. “ Loh, tadi kata tak boleh”
Aku tersenyum. “ Tapi ana tak sambut la Valentine, ana sambut….” Aku menarik beg, mendekatkan pada diriku dan membuka zipnya. Sebuah kotak sederhana besar, yang terbalut kemas kukeluarkan.
Susah payah aku beli benda ini di kedai Syu Hilu sebelah kedai Mandi Yamani lepas kuliah tadi.
“ Nah. 14 Februari, birthday enta yang ana sambut” Aku menghulurkan hadiah itu.
Na’em terdiam. Dia nampak kelu. Aku melihat, matanya memandang hadiah pada tanganku itu.
“Kenapa? Teharu?” Aku bertanya.
Na’em tersenyum. “Terharu la seh. Kau ni susah-susah je. Tak sangka kau ingat” Tangannya mengambil hadiah.
“Dari ana ingat Hari Valentine yang entah apa-apa ni, ingat hari lahir sahabat lagi bagus. Dapat pahala.” Aku memandang ke arah lain.
“Betul jugak ya. Baguslah kau. Ni yang aku sayang kau lebih ni” Na’em mendekati aku dan melagakan pipinya dengan pipiku.
“Uhibbukafillah” Aku menyebut kata-kata kasih sayang kerana Allah di dalam bahasa arab.
“Moga dengan umur yang ALLAH beri kepada enta, enta akan lebih kuat untuk berusaha mendekatiNya” Aku menepuk belakang tubuhnya.
“ Em, aku akan ingat pesan kau. Uhibbukafillah kaman” Aku menyayangimu kerana Allah juga. Kata-kata itu terlafaz dari bibir Na’em. Hatiku jadi kembang dengan rasa tenang. Senang ada sahabat yang berusaha untuk menjadi baik seperti Na’em di sisi.
Walaupun Na’em tidak mengambil jurusan agama, tetapi dia mempunyai kesungguhan untuk mendalami dan mempraktik gaya hidup Islam di dalam kehidupannya. Dia sentiasa haus dan dahaga dengan fikrah Islam, dan praktis hidup Islam yang menyenangkan.
“Eh, tak apa ke aku cakap aku kau dengan kau? Kau pakai ana enta ni”
“Tak pe, enta nak aku hang dengan ana pun boleh”
“Kau tak akan rasa pelik?”
“Nak rasa pelik apanya? Benda cabang aja pun. Bukan benda usul. Lain la enta kata solat itu tak wajib, ha… itu aku bising la”
“Baguslah kau ni. Tapi aku janji, nanti lama-lama, aku akan usaha juga cakap ana enta dengan kau”
“No hal beb. Utamakan benda yang usul dulu.”
Aku secara jujurnya, rasa bersyukur serumah dengannya. Hadirnya Na’em membuatkan aku rasa lebih bersungguh untuk mempertingkatkan diri.
Inilah dia antara cinta yang tinggi, yang disediakan oleh Islam, tetapi tidak dilihat oleh masyarakat. Rasa cinta, hubungan kasih sayang berdasarkan iman dan taat kepada Allah SWT. Malah ganjaran untuk cinta seperti ini juga lumayan.
Rasulullah SAW ada bersabda mengenai tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah SWT, pada perkumpulan manusia di padang Mahsyar nanti. Salah satu golongannya, adalah seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW,
“Dua orang yang berkasih sayang kerana ALLAH, bertemu dan berpisah hanya keranaNya” Riwayat Bukhari dan Muslim.
Dan rasa bahagia dari cinta ini melebihi segala-galanya.
“Eh, makan malam kita hari ini aku belanja la.” Na’em mengeluarkan aku dari lamunan.
Aku mengangkat kening. “Enta punya hari lahir, kenapa pula enta yang belanja?”
“Weh sedara, kau tu budak persendirian, aku ni ada biasiswa JPA. Kejam la aku kalau kau yang belanja. Dah la kau bagi hadiah untuk aku. Kau punya hari lahir pun aku tak bagi apa-apa” Na’em mencubit hidung aku.
“Ana ada duit royallti nasyid-nasyid ana la. Apa salahnya ana belanja” Aku sebenarnya merupakan penasyid sambil belajar di Universiti Yarmouk, Jordan. Nasyid-nasyid aku mendapat sambutan hangat. Nasyid tanpa instrumen, satu fenomena baru di Malaysia.
“Ish, degil kau ni ya. Aku kata aku nak belanja, aku la belanja. Ingat aku ni tak ada perasaan ke?”
“Enta ni ada perasaan juga rupanya” Aku bercanda.
“Kau ingat aku ni robot macam dalam cerita terminator tu ke?” Na’em mencubit hidung aku dengan lebih kuat.
“Adeh, adeh. Ok, ok, enta belanja. Surrender” Aku mengangkat tangan.
Kami berdua ketawa bersama.
“Hu hu. Aku ingat la kan, kalau orang tengok kita, silap hari bulan orang ingat kita ni gay”
Aku ketawa. Gay atau dalam kata lainnya adalah homoseksual, hubungan sejenis antara lelaki dengan lelaki. Zaman hari ini sudah rosak. Kalau tiada teman wanita pada usia seperti aku, maka orang akan terus menuduh sebagai gay. Kalau nampak dua lelaki keluar bersama, berukhuwwah, mesra, dan rapat, terus sahaja dituduh sebagai homoseksual. Pada aku, inilah bukti serangan pemikiran barat yang telah berjaya dalam kehidupan masyarakt. Dengan wujudnya ideologi sedemikian, maka pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan menjadi lebih galak.
Bahkan, aku ada membaca di internet, sebuah akhbar Malaysia yang menyatakan bahawa untuk remaja perempuan hari ini, adalah aib jika dia masih dara pada usia 20-an. Aku hampir sahaja tidak percaya. Aib menjaga maruah diri? MasyaAllah. Tak hairanlah, hari valentine menjadi hari yang paling banyak anak gadis kehilangan dara mereka. Mungkin rata-rata meletakkan kalimah cinta untuk menghalalkan segala-galanya.
“Kalau ana gay, menangislah bakal isteri ana”
“Aiseh, kau ada buah hati ke?”
Aku angkat kening dua kali. “Tak boleh ke?”
“Tadi kau kata, semua perkara yang mendekati zina tak boleh. Habis kau ada buah hati ni, macam mana pula?”
Aku tersengih. “Suka tu, fitrah manusia. Islam meraikan juga fitrah manusia itu. Tetapi ada cara yang ditetapkannya. Kalau dalam kes ana, ana jatuh hati pada perempuan itu, tapi kami tak pernah berhubung pun. Cuma ana kalau ada apa-apa hal, abang, mak atau ayah dia la yang menjadi orang tengah.”
“Wah… Aku tak tahu pun. Kau simpan je ya selama ni”
“Buat apa ana nak heboh. Belum kahwin lagi. Biarlah ana dengan keluarga dia sahaja yang tahu buat masa ni”
“Dia tak cakap apa-apa ke sempena valentine ni?”
Aku menggeleng. “Dia pun sama macam ana. Bukannya sambut valentine. Lagipun, tak main la bercinta lalu hari valentine ni. Buat apa. Cinta patut hari-hari la.”
“Ya la, tapi kita kena la ada satu hari yang nak dijadikan kemuncak. Dah terlanjur ada hari valentine, apa salahnya kita tumpang”
“Apa salahnya tumpang ya… Enta tahu tak, Rasulullah SAW ada bersabda yang menyatakan bahawa barangsiapa yang mengikuti tindak tanduk sesuatu kaum itu, maka amalnya itu tertolak dan tidak dikira”
“Ya ke?”
Aku mengangguk. Hadith itu adalah dari riwayat At-Tirmidzi.
“Ish, aku ni jahil la. Nasib baik kau ada”
“Tak mengapa. Kalau tak tahu, kita belajar”
Na’em tersenyum.
“Tambahan, kalau mengikut pengetahuan ana mengenai valentine ni, semua sumber yang menyatakan asal-usulnya, menceritakan bahawa hari valentine ni berasal dari upacara keagamaan orang kristian” Aku menjelaskan.
“Oho.. Ya ke. Tak tahu pula aku. Ei.. terima kasih banyak la” Na’em menepuk belakang tubuhku.
“Tak mengapa. Kita muslim ni macam satu bangunan. Kena saling sokong menyokong. Nanti ana ada masalah kesihatan, enta pulak kena bantu”
“Habis kan, kalau kau tak sambut valentine, kau nak cakap kau cinta pada buah hati kau macam mana?”
Aku senyap.
“Nanti orang kebas, kau kecewa menonggeng seorang diri”
Aku memandang Na’em.
“Lepas tu, mesti buah hati kau sunyi. Kau tak hubungi dia, sedangkan keliling dia, semua orang sambut valentine. Dia tak rasa apa-apa ke? Kurang-kurang ada kesan juga kan?”
“Dia solehah, takkan la terkesan dengan benda-benda macam ni”
“Bukan semua orang macam kau kawan” Na’em menolak.
Aku diam.
“Perempuan pulak lain. Emosi lebih, senang terganggu. Tambahan, IPT di mana-mana tempat sekarang banyak benda bukan-bukan berlaku. Hubungan bebas tu biasa je. Baik kat Malaysia, mahupun di luar negara. Kau punya buah hati tu selamat ke rasanya? Ha…”
Kata-kata Na’em mengetuk sesuatu dalam hatiku. Aku memandang Na’em.
“Enta ni doktor psikologi je, atau doktor perubatan?” Aku cuba berseloroh.
Na’em tersenyum. “Kau ni kuat bergurau ya. Dah la, aku nak pergi bersiap ni. Aku nak ikut kau pergi masjid hari ni. Maghrib pun dah dekat. Lepas maghrib, kita pergi makan di Yamani bawah tanah. Aku belanja ka”
Hidung aku dicubit sekali lagi. Aku menutup mata atas gerakannya itu. Cubitannya dilepaskan, kemudian aku membuka mata, Na’em sudah masuk ke bilik. Aku terfikir kata-katanya tadi.
“Bukan semua orang macam kau kawan”
“Perempuan pulak lain. Emosi lebih, senang terganggu. Tambahan, IPT di mana-mana tempat sekarang banyak benda bukan-bukan berlaku. Hubungan bebas tu biasa je. Baik kat Malaysia, mahupun di luar negara. Kau punya buah hati tu selamat ke rasanya? Ha…”
Aku melepaskan keluhan berat.
Dia macam mana agaknya?
Betul tak terkesan ke?
*********
Pukul 5.30 malam. Solat isya’ telah lama selesai. Aku merehatkan diri di atas katil. Perut masih kekenyangan, diisi dengan kabsah sebelum solat isya’ tadi. Waktu masih awal.
Saat ini, waktu malam di Jordan sudah menjadi panjang. Keadaan ini adalah situasi yang biasa ketika musim sejuk, atau di dalam bahasa arabnya, syita’. Kebelakangan ini, pukul 2.15 petang sudah asar, kemudian pukul 4.00 petang sudah masuk waktu maghrib. Pukul 5.00 sudah masuk waktu isya’. Subuh pula adalah pada pukul 5.00 pagi, dan zuhur adalah pada pukul 11.30 pagi.
Hidup di negara yang sering sahaja berubah waktu solat ini, memerlukan jiwa yang sensitif dalam melaksanakan ibadah fardhu itu. Solat awal waktu yang dituntut oleh Rasulullah SAW akan menjadi sukar untuk dilakukan sekiranya aku tidak sensitif dengan perubahan waktu di sini.
Saat ini, aku teringatkan Malaysia. Musim sejuk menjadikan perbezaan waktu antara Jordan dengan Malaysia bertambah sejam. Pada musim panas, waktu Malaysia adalah awal lima jam berbanding waktu Jordan. Tetapi pada musim sejuk, waktu Malausia akan menjadi awal enam jam berbanding waktu Jordan. Justeru, sekarang waktu di Malaysia adalah 11.30 malam.
Aku memandang telefon bimbit nokia N-Gage pemberian seorang sahabat. Itu adalah telefon lama yang diberikan secara percuma, sebagai tanda ukhuwwah, cinta dan kasih sayang atas dasar iman dan Islam. Sebab itulah aku amat menghargai cinta di dalam Islam. Cinta yang tak terbatas hanya kepada perempuan, tetapi mencintai segala-galanya dalam rangka mendapat keredhaan Allah. Inilah dia cinta yang tidak dibatasi hanya dengan satu hari, serta mendatangkan kebahagiaan yang amat menyenangkan hati. Pahala pun dapat.
Nombor hubungan tertera di skrin telefon bimbit. Tiga huruf, I, B dan U tertera dalam satu kalimah di atas nombor telefon.
Aku berkira-kira. 11.30 malam, adakah orang di Malaysia sudah tidur?
“Ah, tak rugi cuba” Aku menguatkan tekad. Aku menekan butang dail. Corong suara kudekatkan pada telinga.
Beberapa ketika aku menunggu, kedengaran talian di sana terangkat.
“Assalamu’alaikum, siapa ni” Satu suara lembut mulus menjawab.
Aku terdiam.
“Siapa?” Suara itu kedengaran lagi.
Hatiku bergetar.
“Hello, siapa ni?”
“Eh.. biddi atakallam ma’a ummik” Saya ingin berbicara dengan ibu kamu? Aku bertutur dalam bahasa arab.
“huh? Sorry mister, wrong number” Suara itu menjawab sopan.
“Ah…” Aku hendak bercakap memperkenalkan diri, tetapi belum sempat aku meneruskan kata-kata, kedengaran satu suara dari corong telefon.
“Siapa tu Naseeha?” Dan suara itulah yang aku hajat untuk berbicara dengannya.
“Entahlah ummi, orang arab mana entah yang telefon”
“Ah, bagi pada ummi”
Kedengaran pada corong, bunyi ganggang bergalih tangan. “Siapa ni?” Suara serak basah kedengaran.
“Makcik Asiah, ni Kimi” Kimi, nama panggilan aku, singkatan dari nama penuh ku, Hakimi.
“Aha… ‘afwan. Tobakhtu fi matbakh” Maafkan saya, saya tadi memasak di dapur. Itu maknanya.
Aku tersenyum simpul sendirian di atas katil mendengar jawapan ibu itu. Dia adalah seorang guru kelas tambahan yang mengajar bahasa arab. Aku yakin dia menjawab dalam bahasa arab juga adalah untuk mengelak dari diragui oleh anaknya yang bernama Naseeha tadi.
“Mak kenal ke arab tu?” Kedengaran suara Naseeha.
“Ha. Mak kenal. Dia baik dengan mak. Naseeha tolong tengokkan biskut di dapur. Takut hangit pula”
“Baik”
Tidak lama kemudian, perempuan itu menyambung. “Kimi apa khabar?”
Aku tersenyum. “Kimi sihat makcik. Makcik apa khabar?”
“ Makcik sihat.”
Aku diam sebentar.
“Naseeha tak tanya ke, dia sihat ke tak?” Makcik Asiah menyakat.
Aku tersengih. Wajah aku panas. “Segan la makcik.”
Kemudian aku dapat mendengar Makcik Asiah ketawa kecil.
“Kenapa tiba-tiba telefon malam macam ni? Ni mesti ada apa-apa ni. Rindu pada Naseeha ke?” Tepat ibu itu meneka.
Aku ketawa. “Makcik ni, saya rindu pada makcik la” Cuba bergurau.
“ Elelele. Jangan nak bohong la Kimi.”
Aku terus ketawa senang. “Buat apa di dapur tengah-tengah malam ni?”
“Naseeha tu ha yang gatal sangat nak buat biskut untuk dibawa pulang ke univeristi esok”
“ Ooh. Lepas tu, makcik yang masak?”
“Dialah yang buat acuan, makcik tinggal masukkan dalam oven sahaja. Kenapa? Nak suruh dia pos untuk kamu di sana?”
Aku ketawa lagi. Makcik Asiah memang pandai bergurau. Tak sempat sampai, biskut dah hancur agaknya.
“Tak adalah. Saya sengaja telefon. Rindu la makcik”
“Ha, kan makcik dah cakap. Ala, kamu tinggal setengah tahun sahaja lagi di sana kan? Mak ayah kamu kata mereka nak datang hujung bulan ni. Nak masuk meminang.”
“Em. Kimi Tahu”
“Habis, telefon ni nak pastikan Naseeha selamat la tak kena kebas orang?”
“Ha ha.. Makcik ni ada-ada sahaja.” Selamba betul bakal mertua aku ini.
“Berjiwa muda la katakan”
Aku tersenyum lebar dengan gaya Makcik Asiah berbicara. Dia memang mesra dengan aku dan melayan aku dengan baik. Kepadanya, aku luahkan segala rasa hatiku terhadap anaknya yang bernama Naseeha. Aku tidak pernah lagi berhubung dengan Naseeha, keluar makan, menghantar hadiah atau melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh muda mudi zaman sekarang dalam alam percintaan mereka. Kalau ada apa-apa hal, rindu, atau risau, maka makcik Asiah menjadi tempat aku untuk meluahkan segalanya.
“Kamu telefon ni, kamu sambut valentine juga ke? Hari ni Valentine Day kan?”
“Ish, tak ada lah makcik. Buat apa nak sambut perayaan yang asal usulnya dari agama lain?”
“Ha.. Manalah tahu skru kepala kamu longgar ke, boleh ,makcik tolong ketatkan.”
“Kalau betul longgar, baik saya e-mail terus anak makcik”
“Ha.. gembira la dia, penasyid terkenal Malaysia yang dia suka e-mail terus dengan dia”
“ Ha ha.. Dia minat ke lagu-lagu saya makcik?”
“Kalau kat rumah, lagu kamu sahajalah yang berkumandang.”
“Ni kalau mak ayah saya masuk meminang, agak-agak dia terima ke?”
“Kalau dia tak ada sakit jantung pun, dia mesti terkejut dan gembira teramat sangat”
Aku tersengih. Ada-ada sahaja Makcik Asiah ni. Selamba rilek betul.
“Kimi telefon bukan sebab apa, sengaja je nak tanya khabar Naseeha”
“Ha.. kan betul makcik cakap. Makcik ni pelakon tambahan je”
“Ha ha.. Ada-ada je makcik ni. Kimi sayang juga la dengan makcik”
“Ha, tu baru namanya anak menantu. Kamu tak ada apa-apa nak pesan ke?”
“Em, tak adalah kut. Tapi hajatnya, makcik pesan la pada Naseeha supaya jaga diri. Jangan terpengaruh dengan suasana masyarakat hari ini. Saya telefon ni sebab takut dia terkesan dengan suasana hari ini yang memang penuh dengan unsur-unsur jahiliyyah. Kimi risau la makcik”
“Oh. Kalau macam tu, Kimi jangan risau. Hari ni, dia dari pagi pergi daurah Isteri Solehah kelolaan HALUAN Malaysia. Lagipun dalam kepala dia, mana ada valentine yang entah apa-apa ni.”
“Ya ke makcik? Senang hati Kimi dengar. Makcik memang pandai jaga anak. Daurah Isteri Solehah? Menarik tu”
“Makcik nak dia matang sikit mengenai pembinaan keluarga muslim. Supaya kamu nanti hidup bahagia, dan bercinta betul-betul atas dasar iman dan Islam”
“Alhamdulillah. Lapang hati saya dengar makcik cakap begitu. Kimi juga akan usaha tingkatkan diri makcik. InsyaAllah Win tak akan sia-siakan kepercayaan makcik.”
“ Itulah yang makcik nak dengar. Ha, ni kamu telefon lama-lama ni, tak mahal ke kena bayar? Tahulah duit royalti lagu-lagu kamu tu banyak, tapi berjimatlah”
“Saya tahu makcik. Tapi Syarikat Telefon Orange di Jordan ni buat promsi, dapat percuma 12 dinar. Tambahan teringat Naseeha, jadi Kimi telefon la”
“Em. Kamu jangan risau lah Kimi. Banyakkan munajat kepada Allah agar semuanya terjaga. Binalah cinta kamu pada Naseeha itu, atas cinta kamu kepada-Nya. Itu jaminan ke syurga Kimi. Kesabaran kamu menjaga hubungan ni untuk terus berada atas landasan syara’ Allah akan bayar. InsyaAllah makcik juga akan buat yang terbaik untuk jaga anak makcik ni.”
“Terima kasih makcik. Kimi akan ingat pesan makcik. Win akan jaga diri dan hati Win.”
“Baik. Jaga diri baik-baik. Belajar rajin-rajin. Studi sungguh-sungguh. Tunjukkan manusia yang bawa Islam ni berkualiti dalam semua lapangan yang dia ceburi”
“Baik makcik. Jumpa nanti. Kirimkan salam pada pakcik.”
“Dengan Naseeha tak nak kirim salam?”
“Ha ha… Cakapla yang kawan arab makcik kirim salam pada dia”
Kedengaran suara makcik Asiah ketawa. “InsyaAllah, makcik akan sampaikan. Dan lepas ni Kimi kena panggil makcik, ummi tahu”
Aku tersenyum. “ baik ummi”
“Aha.. macam tu baru sedap dengar. Baik, Assalamu’alaikum”
“ Wa’alaikumussalam”
Butang penamat dail kutekan.
Hati lapang. Walaupun cinta mengikut jalan syara’ ni menguji ketahanan diri dengan menghindari nafsu, tetapi aku yakin yang cinta sebegini adalah cinta yang bersih, cinta yang melapangkan hati dan cinta yang terjaga. Cinta atas dasar keimanan kepada Allah SWT.
Kalau syurga itu hebatnya sehingga tidak terbayang dek fikiran manusia, nikmatnya langsung tidak pernah terlintas di hadapan mata, maka apakah ia boleh dicapai dengan bersenang lenang bergoyang kaki?
Mustahil. Mestilah kena ada susah payahnya. Itulah dia mahar ke syurga sana.
Valentine tidak pernah kupandang sebagai hari cinta. Hakikatnya, hari ini cinta telah direndahkan serendah-rendahnya. Bagaimana agaknya cinta manusia yang tidak menjaga hubungannya dengan Allah? Agaknya bagaimana keluarga mereka? Agaknya bagaimana kehidupan mereka? Tidakkah mereka memikirkan akhirat mereka?
Apakah cinta dua orang manusia, yang sibuk bermadu asmara sehingga tidak menghiraukan waktu solat, yang tidak kisah akan batas-batas pergaulan, yang langsung tidak menjaga sensitiviti masyarakat, akan membuahkan kebahagiaan yang sebenar?
Perbuatan-perbuatan hodoh sebeginilah yang membuatkan cinta dipandang sebagai perkara yang murah dalam kehidupan manusia. Tindakan pasangan-pasangan yang kononnya mencontohi cinta Paderi Valentine inilah yang mencemarkan cinta. Hatta jika mengikut sejarah dan sumber yang mahsyur, Valentine sendiri tidak meraikan Hari Valentine seperti yang dirayakan oleh muda mudi hari ini.
Sedangkan, hubungan lelaki perempuan hakikatnya adalah hubungan suci, yang dikhaskan oleh Allah untuk suami dan isteri. Hubungan dua manusia, untuk melahirkan zuriat mereka bagi meneruskan kesinambungan hidup di dunia ini. Kalau hubungan cinta itu sendiri dirosakkan dengan hubungan lelaki perempuan yang kotor, luar batasan syara’, bagaimana agaknya kesinambungan dunia selepas ini?
Tapi semuanya dihalalkan atas satu kalimah bernama cinta. Sehingga ada satu kata-kata,
“Kerana cinta, kugadaikan segalanya”
Habis dengan maruah pun digadainya. Inilah yang menyebabkan cinta dipandang rendah, dan manusia terkelambu dari makna cinta yang sebenar.
Pada aku, cinta yang sebenar, hanyalah cinta yang mengikuti landasan yang Allah tetapkan. Cinta yang kekal hingga ke syurga. Cinta yang dapat merentasi akhirat. Cinta yang dapat melepasi titian sirat.
Aku jadi teringat akan satu sirah.
Satu hari, seorang perempuan bertanya kepada Rasulullah SAW. Dia berwajah sedih. Bila ditanya mengapa, dia menjawab bahawa, di akhirat nanti, dia akan berpisah dengan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW pastinya akan memasuki syurga yang tertinggi. Sedangkan dia sebagai manusia biasa, kalau masuk syurga pun mustahil tempatnya setaraf dengan Rasulullah SAW. Hal itu menyebabkan dia sedih, kerana cintanya amat mendalam terhada Rasulullah SAW.
Ketika itu Rasulullah SAW senyap sahaja. Kerana dia juga tiada jawapannya. Tetapi tidak lama kemudian, wahyu turun dan Allah memberikan jawapan. Rasulullah SAW tersenyum, lalu bersabda,
“ Sesungguhnya kau akan bersama dengan orang yang kau cintai di akhirat nanti”
Itulah dia cinta yang aku cuba capai. Cinta yang kekal hingga ke akhirat. Cinta yang asasnya adalah iman dan buahnya adalah taqwa kepada Allah.
Tetapi apakah cinta sedemikian difahami oleh masyarakat hari ini.
********
“ Assalamu’alaikum akhi…” Suara lembut Rana kedengaran.
Aku memandang perempuan berpurdah itu. Hari ini, dalam dewan 305, aku sekali lagi mempunyai kuliyyah bersama dengannya dalam madah Sunnah.
“Waalaikumussalam. Hal yujad syai ma’i?” Ada apa-apa ke dengan saya?
Rana menggeleng. “Keif cokolati?” Macam mana dengan coklat saya? Dia bertanya.
Aku tersenyum. “Mush ‘araftu, li anna sodiqi fil beit akala coklatuki”
“Limaza? Tilka coklat laka” Kenapa? Coklat itu untuk awak. Nampak kecewa nadanya.
“Afwan. Ma biddish coklatuki” Maaf, saya tak mahu coklat awak. Aku menjawab sopan.
“Mush tuhib?” Kamu tak suka? Rana bertanya dengan gaya risau.
“La. Walakin inno ma hafaltu valentine” Tidak, tetapi sesungguhnya saya tak menyambut valentine. Aku cuba menerangkan.
“Oo.. walakin inni uhibbuka. Laisa li annani ahfalu valentine” Oo, tetapi sesungguhnya saya cintakan awak, bukan sebab saya nak sambut Valentine. Rana tetap tidak mahu mengalah, terus berterus terang.
“Afwan, yujad afeefah solihah fi qolbi, wa hia qurratu li sodri.” Maafkan saya, sudah ada perempuan yang solehah dalam kalbu saya. Dan dia adalah penyejuk jiwa saya. Aku menjawab yakin.
Rana senyap.
“Rana, al-aslu fi ikhtilat haram. Iza la yujad syai’ doruri, lan taqrobiini. Enti muslimah solehah insyaAllah, tafham kalami wadhihan” Rana, asal untuk percampuran adalah haram. Kalau kamu tiada perkara penting, janganlah sekali-kali mendekati saya. Kamu ni perempuan muslimah yang solehah, pasti kamu faham kata-kata saya dengan jelas. Aku bertegas.
“Allahumma yu’tiki sakeenah wal ‘afiah” Semoga ALLAH memberikan kepada kamu ketenangan dan kebaikan.
Kemudian aku terus melangkah pergi, meninggalkan Rana tanpa memandangnya.
Dalam menjaga prinsip Islami yang aku pegang, aku perlu bertegas. Menjaga cinta yang ALLAH curahkan dalam jiwaku.
Dan Valentine turut pergi, bersama-sama dengan cinta yang diagung-agungkan manusia yang meraikannya. Cinta berasaskan valentine semata-mata, atau suka-suka dunia semata, tidak akan ke mana. Berapa ramai manusia telah merendahkan maruah diri mereka semalam.
Aku hendak terus melangkah ke arah cinta yang bersih, dan menyenangkan jiwa. Di dalamnya hanya ada bahagia, dan tiada pula kecewa. Tribulasi di dalamnya adalah ibadah, dan kesenangannya di dalamnya adalah hadiah.
Valentine pergi, tetapi cintaku tetap mekar seiring masa yang terus bergerak mengelilingi diri. Cinta kepada Allah, membuahkan cinta-cinta lain yang bersemi dengan indah dan bertahan dengan gagah.
Cinta kepada Allah lah sebenarnya yang menggerakkan cinta-cinta yang lain dalam kehdiupan manusia. Inilah sebenarnya cinta yang hakiki!